PROGRAM KARNIVAL USAHAWAN DAN

27 December 2022 | Berita Semasa

HARI BERSAMA KOMUNITI 2022 PEDi FELDA SG KLAH

  1. RINGKASAN PROGRAM

Program Karnival Usahawan Dan Hari Bersama Komuniti 2022 PEDi Felda Sungai Klah merupakan program yang  dianjurkan oleh Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Felda Sungai Klah (PEDi FSK).   Program akhir dan utama telah dijalankan dengan jayanya pada 18 Disember 2022 bertempat di Dataran Terbuka Klah Homestay bermula dari jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.  

Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengumpulkan para usahawan Felda Sungai Klah, memperkenalkan dan juga untuk menggalakkan mereka berniaga.  Mereka juga diberi peluang untuk membuka gerai sambil memperkenalkan produk masing-masing.

Selain itu kami juga telah menjemput agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan pameran supaya komuniti dapat berkomunikasi dua hala dengan mereka.  Juga diadakan forum perniagaan iaitu program bual bicara melibatkan STeP Perak, AIM & Agrobank menerangkan betapa pentingnya menukarkan perniagaan tradisional sedia ada kepada platform digital.

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di PEDi FSK sepanjang bulan November dan Disember ini adalah berunsurkan digital iaitu pendidikan, meningkatkan kemahiran, program keusahawanan dan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian, serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat (PSH).

Program bermula pada akhir bulan November iaitu Bengkel Keusahawanan “Start From Scratch” (Bahagian 1).  Objektif program ini untuk menarik minat usahawan sedia ada dan juga komuniti baru yang ingin menceburi bidang perniagaan ke arah memperbaharui cara perniagaan mereka dan mendigitalkan perniagaan mereka.  Bengkel membuat sticker ini memberi peluang kepada usahawan mencipta logo perniagaan mereka sendiri.  Mereka juga perlu mengkomersialkan hasil masakan mereka berserta sticker yang dihasilkan.

Seterusnya pada awal bulan Disember, Program “From Hobby To Career” dengan memberi penerangan bagaimana e-sport boleh bertukar dari hobi kepada kerjaya.  Objektif program ini adalah untuk membuka minda remaja bagi menceburi bidang e-sport yang mana bukan sahaja dapat mengisi masa lapang mereka bahkan dapat menambah pendapatan.

Bengkel “Improve Your Business (Photography) dijalankan untuk para usahawan dan juga komuniti bagi membantu mereka mempelajari dan mempraktikan teknik mengambil gambar yang terbaik bagi mempromosikan produk perniagaan mereka.  Peserta juga dikehendaki mencipta akaun shopee perniagaan mereka dan memuat naik hasil gambar produk ke dalam platform e-dagang.

Program kemuncak Karnival Usahawan dan Hari Bersama Komuniti yang diadakan pada 18hb Disember 2022 bermula dari jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang   memuatkan pelbagai aktiviti menarik.  Program dimulakan dengan aktiviti Zumba selama 1 jam.  Tujuannya sebagai pemanas badan sebelum memulakan aktiviti-aktiviti lain.  Kemudian program diteruskan dengan forum bual bicara “Grow Your Business from Traditional to Digital” yang menampilkan AIM Cawangan Tapah, STeP Perak dan juga Agrobank sebagai panel jemputan serta dipengerusikan oleh moderator. Bual bicara ini diserikan lagi dengan selingan kuiz spontan yang disediakan dari panel jemputan.

Acara diteruskan dengan aktiviti “Journey to Become an entrepreneur”, objektif program ini adalah untuk menarik minat remaja dan komuniti menceburi bidang perniagaan melalui 3 permainan yang dijalankan.

Disamping itu turut juga diadakan Pertandingan “Start From Scratch” (Bahagian 2) kesinambungan dari bahagian 1, iaitu para usahawan telah mempamerkan masakan serunding yang telah siap dibungkus untuk tujuan komersial dengan menggunakan sticker perniagaan yang telah dipelajari.  Mereka juga ditugaskan untuk melakukan “Mini pitch” bagi mempromosikan serunding. Ia bertujuan bagi membina keyakinan dan keberanian kepada usahawan untuk mempromosikan produk dan perniagaan mereka di depan juri dan juga secara digital.

Turut berjalan acara “Junior Cupcakes Café” iaitu acara khas untuk kanak-kanak yang berusia 3 – 6 tahun.  Kami telah menjemput kanak-kanak dari Tabika KEMAS Felda Sungai Klah, Tabika KEMAS Orang Asli Sg Tisong, Pra Sekolah Felda Sg Klah dan juga pelajar Kelas Literasi 2022.  Setelah menghias kek, pelajar telah menjual kek-kek tersebut kepada para hadirin yang berada di dataran tersebut.  Objektif program ini adalah untuk menarik minat kanak-kanak menceburi bidang perniagaan melalui permainan yang dijalankan.  Nampaknya mereka berjaya meraih pendapatan yang lumayan.

Majlis penutup dimulakan pada jam 2.00 petang setelah semua pertandingan selesai dijalankan.  Sementara menunggu kedatangan VIP, pertandingan kuiz “Jawab & Menang” diadakan untuk menguji pengetahuan am komuniti Felda Sungai Klah.  Slot ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti Felda Sungai Klah. 

Ketibaan VIP disambut dengan persembahan Silat daripada Persatuan Silat Cekak Harimau Felda Sungai Klah.  Perasmian Penutup Program Karnival Usahawan Dan Hari Bersama Komuniti PEDi Felda Sungai Klah dirasmikan oleh Pengurus Felda Sg Klah iaitu Encik Mohamad Muhaimin Bin Mohamad Azmi.  Turut hadir adalah wakil Pengurusan Felda, wakil AJK JKKR, wakil AJK GPW dan komuniti dari pelbagai peringkat umur.  Majlis penutup dan penyampaian hadiah ini berakhir pada jam 5.00 petang.  Kami juga telah menyertakan lampiran bergambar dan keterangannya.

Sekian, terima kasih.

Zumba
Meja Pendaftaran

Panel Jemputan Forum Perniagaan
Pertandingan Junior Cupcakes Cafe

Kemeriahan semasa pertandingan

Pertandingan Start From Scratch (Serunding & Sticker)
Antara penyampaian hadiah pertandingan