PROGRAM MOBILE TEAM KWSP, TABUNG HAJI DAN AGROBANK DI PUSAT INTERNET FELDA SG KLAH

12 November 2019 | Berita Semasa

Pusat Internet Felda Sungai Klah telah menganjurkan program Mobile Team KWSP, Tabung Haji dan Agrobank pada 28 Ogos 2019 Rabu. Program bermula pada jam 10.00 Pagi di mana ketiga-tiga agensi terlibat membuka kaunter perkhidmatan masing-masing di dalam Pusat Internet Felda Sungai Klah. Objektif program ini ialah untuk memberikan perkhidmatan dengan mendekati pelanggan yang berada jauh atau yang sukar untuk datang ke pejabat urusan disebabkan oleh kesibukan tugas seharian.

Mobile Team KWSP menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti Kempen pendaftaran i-akaun KWSP, Kempen pendaftaran Penamaan di mana kesedaran tentang kepentingan penamaan kepada ahli KWSP. Percetakan penyata tahunan, semakan rekod penamaan, penerimaan borang penamaan; dan khidmat nasihat berkenaan I-Sara/I-Suri dan pendaftaran simpanan shariah. Selain itu, bagi pengguna I-Akaun pula boleh menyemak dan mencetak penyata tahun semasa dan tahun lepas, menyemak kelayakan pengeluaran, menyemak status pengeluaran, menyemak sejarah pengeluaran, muat turun borang pengeluaran, menyemak dan kemaskini alamat dan semakan butiran penamaan.

Perkhidmatan Mobile Kaunter Tabung Haji pula membuka peluang kepada pelanggan untuk membuka akaun pada kadar RM10.00 sahaja. Selain itu, pelanggan juga berpeluang mendaftarkan haji menggunakan penyata KWSP tanpa perlu mengeluarkan simpanan KWSP tersebut. Para pendeposit juga boleh mengemas kini alamat, nombor telefon dan melakukan penamaan waris di kaunter yang dibuka di Pusat Internet.

Kaunter Agrobank pula menawarkan perkhidmatan Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus dengan memperkenalkan 3 pakej serendah RM10.60, RM21.20 dan RM53.00. Pelan Takaful Kasih Plus ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 15 hari hingga 75 tahun. Perlindungan ini boleh diperbaharui secara automatik jika anda merupakan pemegang akaun Agrobank.

Pusat internet juga tidak ketinggalan membuat penerangan berkenaan siaran TV Digital Myreeview. Selaras dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan siaran TV analog kepada siaran digital. Dengan adanya Myfreeview TV, rakyat Malaysia akan dapat menikmati siaran TV dengan imej jelas melalui paparan HD.

Mobile Kaunter ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari komuniti Felda Sungai Klah. Pelanggan tidak putus-putus hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat dan membuat pelbagai urusan berkaitan KWSP, Tabung Haji dan Agrobank. Program selesai pada jam 4.00 Petang.